Assalamualaikum,
Kerap pula saya berkongsi resipi kek dalam blog ni kan. Ada pembaca yang tanya, tiap hari buat kek ke? Jawapannya adalah koleksi kek-kek ini ada yang saya dah lama buat tetapi tersimpan dalam draft dan ada juga yang baru saya buat. Saya tak berniaga kek buat masa sekarang ini sebab kerja di pejabat pun dah cukup banyak, ditambah lagi dengan masa yang saya peruntukkan untuk anak-anak yang sedang membesar. Saya hanya berkongsi di blog segala resipi harian yang dimasak untuk keluarga sahaja dan kalau ada yang nak guna resipi-resipi ini untuk berniaga, anda dialu-alukan.
Kek sirap bandung ini sejenis kek mentega yang anak-anak saya paling suka. Harum bau sirap ros ditambah pula dengan rasa lemak susu pekat manis yang dimasukkan dalam adunan , memang enak sekali. Saya gunakan sirap rose jenama Double Lion.
Baiklah resipi dan step by step ada dibawah ini. Kalau nak try bolehlah...langkah demi langkah juga disediakan :)
KEK SIRAP BANDUNG
Saiz loyang : 8in x 8in
Bahan-bahan
250 gm tepung gandum
2 sudu teh baking powder
250 gm mentega
100 gm gula castor
3/4 cawan susu pekat manis
6 biji telur - gred A
2 sudu teh sirap ros - Jenama Double Lion
Cara membuatnya :
1. Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 180'c. Sapu loyang dengan mentega dan alas dengan baking paper.
2. Ayak tepung gandum dengan baking powder dan ketepikan seketika.
3. Didalam mangkuk besar, pukul mentega dan gula sehingga kembang.
4. Masukkan pula susu pekat manis sambil dipukul lagi hingga adunan sebati.
5. Setelah itu masukkan telur sebiji demi sebiji (pastikan telur dipukul dengan adunan hingga sebati sebelum masukkan telur seterusnya).
6. Seterusnya masukkan tepung yang diayak tadi dan pukul hingga sebati (Jangan terlalu lama memukul, sekadar adunan bercampur sahaja). Masukkan pula 2 sudu teh pes sirap ros dan kaup balik didalam adunan kek.
6. Bakar didalam oven (api atas dan bawah) selama 45minit - 1 jam atau sehingga kek masak (setiap oven berbeza). Setelah kek masak biarkan didalam loyang selama 10minit dan terbalikkan diatas redai untuk disejukkan.
Artikel keren lainnya: