Assalamualaikum,
Entry kari lagi hari ini. Memang kalau orang utara sinonim sangat dengan masakan kari dalam menu sehari-hari. Tak ada istilah jemu asalkan kita bijak dan kreatif merampai bahan-bahan yang digunakan. Kali ini saya masak Kari Ayam dengan Rebung. Rebung yang digunakan adalah rebung madu yang saya beli di pasar dan telah siap direbus, jadi ia bebas dari bau yang kurang enak. Saya memang elakkan dari membeli rebung jeruk yang baunya agak menyengat kerana ia mematikan selera.
Kalau suka kuah yang lebih pekat dan agak lemak bolehlah tambahkan 1 sudu besar kerisik didalam masakan ini tetapi saya tak masukkan kerisik kali ini kerana kehabisan stok. Walaupun begitu rasanya tetap juga enak.
Nak try masak Kari ayam dengan rebung? Jom tengok resipi dan bahan-bahan yang digunakan :)
KARI AYAM DENGAN REBUNG
Bahan-bahan
Ayam - Sebelah bahagian (Dipotong)
1 bungkus kecil serbuk kari daging/ayam - larutkan dengan sedikit air
1 sudu besar serbuk cili
2 tangkai daun kari
200gm rebung madu - siap direbus
1 keping asam gelugur@keping
1 cawan santan
2 mangkuk air
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Bahan Tumis
1 inci kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
Bahan ditumbuk/kisar
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Cara membuatnya :
1. Panaskan api dapur, tuang minyak kedalam kuali dan tumis kulit kayu manis, buga lawang serta buah pelaga serta bahan-bahan yang ditumbuk. Kacau hingga berbau wangi dan bertukar kekuningan.
2. Masukkan pula daun kari, serbuk cili beserta rempah kari dan renihkan dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan rempah benar-benar masak.
3. Setelah itu masukkan ayam dan kacau sebati hingga bersalut dengan rempah. Masak sebentar hingga ayam agak kecut.
4. Tambahkan air dan biarkan hingga mendidih barulah masukkan santan.
5. Masukkan juga rebung, asam keping dan perasakan dengan garam dan gula. Renihkan lagi hingga kuah agak pekat dan pecah minyak bolehlah matikan api dapur.
Artikel keren lainnya: