Assalamualaikum,
Ada ke yang suka makan masakan kampung macam Masak Lemak Ciliapi Ayam sama tempoyak ni? Maklumlah generasi sekarang ni lebih cenderung ke menu masakan barat. Hidangan yang berkeju-keju gitu jadi pilihan. Ada juga yang elakkan makanan bersantan kerana jaga kesihatan dan diet ingin kurus. Amalan itu memang baguslah kan, tapi terfikir juga saya kenapa generasi dulu-dulu tetap je sihat bertenaga dan susah terkena penyakit walaupun makanan seharian, terutama sekali masakan melayu gunakan santan. Mungkin cara hidup mereka yang sihat, kerja yang banyak keluarkan peluh, tidak banyak bahan kimia dalam masakan dan kurang stress buatkan mereka maintain je, kan.
Bagi saya pula memang tak boleh elak menu kari, masak lemak dan asam pedas. Memang dalam seminggu mesti ada masakan ni. Lidah melayu agaknya kan...anak-anak pun suka, jadi mama dengan senang hatilah memasaknya. Nak nak pula Masak Lemak Ciliapi Ayam sama tempoyak ni, bertambah-tambah nasi dibuatnya.
Apapun menu kita sehari-hari yang penting sekali pastikan kita sihat dengan pemantauan dan lakukan pemeriksaan kesihatan serta ujian darah secara berkala agar setiap penyakit dapat dikawal lebih awal.
Jom...kita tinjau resipi masak lemak ciliapi ayam sama tempoyak dibawah ni dulu dan selamat memasak ye ;)
MASAK LEMAK CILIAPI AYAM SAMA TEMPOYAK
Ayam sebelah - dipotong 8
1 helai daun kunyit - disimpul
1 batang serai - diketuk
1 sudu besar tempoyak
1 cawan santan pekat
2 mangkuk air
1 keping asam gelugur
terung telunjuk secukupnya - ikut selera (pilihan)
garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar / tumbuk
10 tangkai cili padi
1 inci kunyit hidup
Cara membuatnya :
1. Bersihkan ayam, masukkan kedalam periuk. Tuang bahan kisar kedalam periuk tersebut dan gaul bersama ayam tadi.
2. Setelah itu masukkan pula asam gelugur, daun kunyit dan serai
3. Tuang pula pula santan dan 1 mangkuk air kedalam periuk tersebut dan masak diatas api yang perlahan sambil dikacau sesekali sehingga pecah minyak.
4. Masukkan terung telunjuk dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
4. Akhir sekali masukkan tempoyak dan lebihan 1 mangkuk air lagi dan renih sehingga ayam benar-benar masak dan santan pecah minyak. Setelah itu bolehlah matikan api dapur dan hidangkan masak lemak ciliapi ayam sana tempoyak ini dengan nasi putih beserta lauk lainnya.
Artikel keren lainnya: